PRU12 memberikan kejutan besar kepada UMNO dan BN. Mereka yang sedang asyik dibuai mimpi indah tiba-tiba diterjah oleh mimpi ngeri. Mereka yang mengawal saluran informasi dan propaganda utama. Bagaimana info dan propaganda mereka tidak berkesan? Dari mana rakyat mendapat info? Bagaimana pembangkang melancarkan propaganda mereka? Bedah siasat demi bedah siasat dibuat. Mr Nice Guy tidak nice lagi? Mr Clean Guy tidak clean lagi? Akhirnya diputuskan, salah satu punca ialah UMNO dan BN tidak mengeksploitasi saluran alternatif sebagaimana dibuat oleh pembangkang. UMNO dan BN sudah ketinggalan jauh dalam bidang tersebut. Gerakan besar-besaran dan bersungguh-sungguh mesti dilancarkan bagi menyampaikan maklumat dan menepis propaganda pembangkang melalui saluran alternatif. Muncullah blog pro UMNO dan BN, tumbuh seperti cendawan.
Blog pro UMNO-BN terdiri dari dua kategori. Pertama blog yang dikendalikan oleh orang UMNO-BN sendiri. Kedua blog yang dikendalikan oleh orang yang tidak terikat dengan UMNO-BN. Dalam kategori pertama terdapat blog yang memperjuangkan UMNO-BN dan blog yang fokusnya mempromosikan individu tertentu. Kategori kedua pula ialah blog yang fokusnya memperjuangkan Melayu dan Islam.
Ketika Pak Lah masih menjadi PM dan Presiden UMNO fokus kebanyakan blog pro UMNO-BN ialah mendedahkan ketidak-wibawaan Pak Lah dan kepincangan Pak Lah, menantu dan seangkatan dengan mereka. Kejayaan terbesar blog pro UMNO-BN ialah kejayaan bloggar Tun Dr Mahathir Mohammad memaksa Pak Lah turun dari singgahsanannya.
Jika diperhatikan dapat dirumuskan peperangan politik yang utama di medan perang siber berkisar pada dua individu iaitu Najib dan Anwar. Anwar ada masa 24 jam sehari, 365 hari setahun selama 6 tahun untuk berfikir, mengkaji, merancang dan menyusun strategi. Anwar mempunyai bekalan yang cukup. Anwar pernah memimpin Abim. Anwar pernah membawa pelajar-pelajar U ke jalanan. Anwar pernah aktif dalam UMNO. Anwar pernah memegang jawatan dalam kerajaan. Anwar pernah jadi TPM. Anwar pernah memangku jawatan PM. Anwar kenal orang-orang UMNO. Anwar tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Anwar pernah berhadapan dengan TG Nik Aziz, TG Hadi, Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Anwar tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Mereka semua umpama buah catur. 6 tahun Anwar menyusun strategi caturnya. Bila Anwar keluar dari penjara dia sudah tahu dengan jelas apa yang mesti dia buat. Perancangan dan strateginya cukup lengkap dan sempurna. Cuma satu yang tidak masuk dalam perancangan dan strategi Anwar iaitulah SAIFUL BAHARI!
Najib diserang ketika dia belum menjadi PM lagi. Najib ditangkap basah dengan penyanyi. Najib kaki perempuan. Najib mengikut telunjuk bini. Najib menggunakan dana kerajaan untuk bininya berbelanja di luar negara. Najib dan bininya terlibat dalam pembunuhan dan pengeboman Altantuya. Najib seorang yang tidak bermoral tidak layak menjadi PM negara. DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung sendiri tidak merestui Najib menjadi PM.
Bila Najib menjadi PM serangan terhadapnya bertambah kuat. Jenayah Najib dimuatkan dalam akhbar luar negara. Najib dicabar agar membersihkan namanya. Dalam negara pula dihebohkan cerita najib menggunakan khidmat sami Hindu, malah Najib sendiri melakukan amalan pemujaan cara Hindu. (Dahulu Dr Mahathir membela sami-sami Hindu). Najib juga dikatakan klon Dr Mahathir. Najib akan meneruskan polisi Dr Mahathir. Najib akan menggunakan ISA untuk ‘membunuh’ musuh-musuhnya.
Bloggers pro UMNO-BN dan pro Najib membalas serangan bloggers pro Anwar. Sebahagian daripada mereka menggunakan cara laman-laman reformasi menjatuhkan kredibiliti Dr Mahathir dahulu. Keluarlah gambar-gambar Anwar secara mengaibkan. Roda berpusing. Apa yang dihadapi oleh Dr Mahathir dahulu kini dihadapi oleh Anwar. Kadang-kadang bila membaca blog yang menghentam Anwar sekarang seolah-olah membaca laman reformasi yang menghentam Dr mahathir dahulu. Mungkin penulis blog itu orang yang sama, yang sudah berubah pendirian lantaran dikhianati oleh Anwar.
Ada blog yang ditulis berdasarkan fakta yang diperolehi dengan penyelidikan dan usaha yang gigih. Tidak kurang blog menjadi tempat melepaskan geram semata-mata. Ada blog yang kelihatan seperti blog dibayar untuk mempromosikan individu tertentu.
Ramai orang yang mengakses blog melalui handphone, blackberry misalnya. Design dan susun atur boleh menyebabkan muat turun menjadi perlahan. Terlalu banyak imej dan link yang dimuat turun terlebih dahulu. Di bawah sekali baharulah keluar berita utama yang mahu dibaca. Itupun setelah lama menunggu muat turun. Blog demikian boleh menyebabkan orang meninggalkannya dan pergi ke blog yang lain.
Peperangan bloggers berjalan terus. Bermacam-macam senjata, peluru dan bom digunakan. Percanggahan maklumat dalam blog tidak mengganggu golongan yang percaya tegar dan golongan yang tidak percaya tegar. Bagi orang yang percaya tegar, apa juga yang blog kumpulannya katakan itulah yang benar. Setiap bom yang dilemparkan oleh blog kumpulannya meletup disambut dengan pekik sorak dan takbir! Golongan yang tidak percaya tegar tidak akan percaya apa juga yang dipaparkan oleh blog kumpulan lawan. Setiap kata-kata dan cerita blog demikian hanyalah pembohongan, spin dan fitnah. Ia disambut dengan maki hamun. Bagi golongan yang percaya tegar dan tidak percaya tegar, ada blog atau tidak ada blog sama sahaja bagi mereka. Mereka tetap dengan kepercayaan atau ketidak-kepercayaan mereka.
Apapun perkembangan pesat blogosphere menjadi mata yang perpandangan tajam. Tidak ada yang terlepas baik kerajaan mahupun pembangkang. Kewujudan blog menyebabkan tidak ada tempat persembunyian bagi yang bersalah. Tahniah untuk para bloggers!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment