Wednesday, August 12, 2009

UMMAH PERTENGAHAN

Di antara golongan percaya tegar dengan golongan tidak percaya tegar terdapat satu golongan yang berada di tengah-tengah. Mereka ada dalam UMNO, ada dalam PAS, ada dalam PKR, ada dalam DAP dan ada di mana-mana. Mereka mempunyai ciri yang sama iaitu menerima kebenaran sebagai benar dan kesalahan sebagai salah tanpa terikat dengan mana-mana individu dan pertubuhan. Mereka dapat melihat kebaikan dan keburukan yang ada dengan kumpulan mereka. Mereka juga dapat melihat kebaikan dan keburukan yang ada dengan musuh mereka. Yang benar tetap benar tak kira datang dari mana. Yang salah tetap salah tak kira siapa melakukannya.
Mereka merupakan golongan minoriti. Mereka pula terpecah-pecah. Sebahagiannya dalam UMNO, sebahagian dalam PAS, sebahagian dalam PKR, sebahagian dalam DAP dan ada juga bahagian yang tidak memasuki mana-mana pertubuhan. Mereka menjadi kumpulan kecil dalam mana-mana pertubuhan yang mereka anggotai. Oleh kerana mereka hanya minoriti mereka dengan mudah ditekan oleh golongan tegar. Suara kebenaran yang mereka cuba sampaikan akan ditentang golongan ramai yang hanya mahu menerima kebenaran dari golongan mereka sendiri sahaja.
Sekali-sekala kumpulan minoriti ini cuba menyampaaikan kebenaran kepada Pemimpin Besarnya yang dari golongan tegar. Pemimpin tegar dengan penyokong tegar menganggap teguran sebagai kritikan. Kritikan dianggap sebagai percubaan mahu melemahkan kumpulan sendiri. Orang yang berbuat demikian dianggap sebagai agen musuh.
Dari kalangan ummah pertengahan itulah kadang-kadang keluar kenyataan yang membuat ahli kumpulannya melenting. Isu-isu yang pernah mereka keluarkan: Kerajaan Perpaduan; gangsterism dalam DAP Johor; anak luar nikah Teoh Beng Hock; isu arak di Selangor; Nizar tidak sepatutnya menyertai upacara memasang lilin; meletak kalungan bunga dan bertafakur di Tugu Negara hukumnya haram, Selangor Darul Khamar dll. Kewujudan ummah pertengahan di dalam kumpulan yang berbeza-beza memberi harapan kesepakatan dan kerjasama bukanlah perkara yang mustahil.
Ummah pertengahan yang menjadi blogger menceritakan yang benar dan memberikan hujah yang adil. Mereka tidak menjual blog mereka untuk mempromosi individu tertentu atau kumpulan tertentu. Mereka boleh tergolong dalam kumpulam pro UMNO-BN tetapi keserakahan UMNO-BN tidak terlepas dari terjahan mereka. Mereka boleh tergolong dalam kumpulan pro pembangkang tetapi kebiadaban pembangkang tidak menutup pandangan mereka.
UMNO-BN dengan ahlinya tidak mampu memenangi pilihanraya. PAS-PR dengan ahlinya tidak mampu memenangi pilihanraya. Pengundi dari kalangan ummah pertengahan menetukan siapa yang menang. Ummah pertengahan adalah orang yang rasional, mendengar, membaca, memikir dan membuat keputusan yang adil bukan emosional. Ummah pertengahan yang menjadi ahli UMNO boleh memangkah PAS jika dia berpendapat calon dan partinya tidak layak dipangkah. Yang PAS pula boleh pangkah UMNO atas sebab yang sama. Keupayaan besar yang ada dengan mereka tidak terserlah kerana mereka terpecah-pecah sebagai individu bukan oragnisasi besar. Jika mereka ujudkan NGO ummah pertengahan maka suara mereka akan didengar oleh kerajaan dan pembangkang.
Satu ketika dahulu ummah pertengahan yang ada dalam berbagai-bagai bangsa merupakan tenaga kuat menguasai bangsa masing-masing. Mereka mampu duduk semeja berbincang untuk kepentingan orang ramai. Mereka berfikir dengan rasional dan bersedia bertolak ansur demi kepentingan bersama. Lahirlah kesepakatan di antara bangsa Melayu sebagai tuan rumah dengan bangsa Cina dan India yang tidak ada pilihan kecuali menetap di bumi Tanah Melayu. Bangsa Melayu bersetuju melepaskan sebahagiaan daripada haknya. Bangsa Cina dan India bersetuju memperakui dan menghormati sebahagian daripada hak keistimewaan orang Melayu. Sebagai tanda semua pihak mencapai kata sepakat digubalkan perlembagaan yang menetapkan dengan jelas hak masing-masing. Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan membawa perlembagaan tersebut. Ia dibawa kepada pembentukan Malaysia.
Potensi yang ada dengan ummah pertengahan perlu digerakkan semula bagi mengembalikan kesepakatan yang telah lama dibina.
Jika kesepakatan tidak dapat dibentuk melalui politik, ummah pertengahan perlu mencari jalan lain. Bukan sedikit orang UMNO-BN yang dihormati oleh orang PAS-PR. Juga bukan sedikit orang PAS-PR yang dihormati oleh orang UMNO-BN. Tanggalkan baju partai buat seketika. Duduk bersama sebagai Melayu, atau Muslim atau Malaysian. Banyak titik persamaan yang ada. Rehatlah sejenak bersama-sama di Hentian. Anda adalah harapan generasi masa depan: Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, Islam, Hindu, Buddha, Keristian dan sekalian rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment