Sodomi I mengumpulkan puluhan ribu malah ratusan ribu rakyat menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Mereka percaya Anwar seorang yang salih. Mereka percaya Anwar tidak meliwat. Mereka percaya Anwar dianiaya. Mereka percaya ada konspirasi membunuh kerjaya politik Anwar.
Sodomi II menyaksikan kurang 100 orang hadir di mahkamah memberikan sokongan moral kepada Anwar. Ratusan ribu yang percayakan Anwar ketika Sodomi I dahulu berpecah kepada beberapa golongan: tidak percaya, ragu-ragu dan tidak peduli. Dalam kalangan orang yang sudah tidak percayakan Anwar terdapat mereka yang dahulunya sangat rapat dengan Anwar, sangat mempercayainya dan sangat menghormatinya. Mereka sanggup berdemo dengan Anwar. Mereka sanggup kena ISA bersama Anwar. Mereka sanggup masuk jel kerana Anwar. Mereka merupakan perintis reformasi sehingga terbentuk Partai Keadilan Rakyat. Masa telah mengubah mereka. Mereka mempunyai sebab yang kuat untuk tidak mempercayai Anwar lagi dan meninggalkannya. Mereka merasakan mereka dikhianati oleh Anwar. Keakraban bertukar menjadi permusuhan. Kasih sayang bertukar menjadi benci. Daripada kalangan merekalah muncul bloggers yang kuat menghentam Anwar. Mereka sanggup menghabiskan tenaga dan wang ringgit untuk meyakinkan orang ramai agar tidak mempercayai Anwar. Mereka percaya mereka di pihak yang benar dan membongkar kejahatan dan pembohongan Anwar menjadi jihad bagi mereka. Oleh kerana mereka berperang dengan Anwar segalanya adil dalam peperangan. Mereka boleh gunakan kata-kata kesat dan mereka-cipta gambar Anwar secara mengaibkan. Bagi mereka itulah layanan yang paling layak Anwar terima. Itu semua mereka lakukan demi menyelamatkan rakyat dan Negara daripada Anwar.
Chua Jui Ming dan SS Subramaniam telah meninggalkan BN dan bergabung dengan Anwar. Mereka percaya ideology yang dibawa oleh Anwar lebih relevan berbanding apa yang diperjuangkan oleh BN. Daripada tidak percaya mereka sudah menjadi orang yang percaya kepada Anwar.
Dulunya Lim Kit Siang tidak percaya kepada TG Nik Aziz dan TG Hadi, sebab itu kerjasama di antara DAP dan PAS yang dibentuk beberapa kali menemui kegagalan. Bila Anwar hadir sebagai pemangkin Lim Kit Siang menjadi percaya kepada kerjasama dengan PAS sehingga mereka berjaya membentuk kerajaan campuran atas nama Pakatan Rakyat.
Dahulunya TG Nik Aziz berkata DAP sama dengan syaitan. Kini, kehadiran Anwar sebagai pemangkin membuat TG Nik Aziz percaya PAS boleh bekerjasama dengan syaitan DAP. TG Nik Aziz percaya kepada kekuatan yang ada pada dirinya. Bukankah Nabi Sulaiman as pernah menggunakan syaitan-syaitan untuk kerja menyelam dan membina bangunan?
TG Nik Aziz percaya tetapi tidak penuh. Lim Kit Siang percaya tetapi tidak penuh. Sebab itu Pakatan Rakyat masih belum boleh didaftarkan secara sah.
Dahulu orang-orang kuat Anwar tidak percaya kepada Dr Mahathir. Kini sebahagian daripada mereka sudah percayakan Dr Mahathir, berjabat tangan dengannya dan ikut serta dalam majlisnya.
Dahulu rakyat percaya kepada Pak Lah sehingga Pak Lah berjaya membawa BN menang secara cemerlang, gemilang dan terbilang dalam PRU11. Kemudian rakyat tidak lagi percayakan Pak Lah. PRU12 jadikan Pak Lah terbuang.
Dahulunya rakyat percaya kepada Raja Petra Kamaruddin dan Akaun-akuan Bersumpah yang dipaparkannya, menyabitkan pembabitan PM Najib dan Rosmah dengan pembunuhan Altantuya. Rakyat juga percaya Anwar mempunyai bukti-bukti kukuh tentang kepuakaan Rosmah. Rakyat menunggu dengan penuh ghairah RPK mengeluarkan bukti-buktinya di mahkamah. Rakyat menunggu Anwar menyelamatkan Koperal Sairu dengan bukti-bukti yang ada padanya. Rakyat mahu berikan pukulan maut kepada PM Najib. Malangnya RPK menghilangkan diri. Anwar terus menyimpan bukti yang ada dalam tangannya, tak peduli Sairu yang akan ke tali gantung. Lalu rakyat tidak lagi mempercayai RPK dan Anwar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment